Dr Waina

ku bukan sasterawan, bukan karyawan bukan jua wartawan tapi ku ingin berkarya di saat ku terdaya

Tidak Menunggu Sempurna

Bila ada manusia mengajak kepada kebaikan, kadangkala dia akan berhadapan dengan sindiran dan caci maki orang ramai. Tambah memburukkan, sindiran dan caci maki itu melemahkan kekuatan hati untuk terus menyebarkan kebaikan.

Antara kata-kata yang biasa kita dengar adalah:

“Ala, belajar pun tak habis lagi nak dakwah-dakwah”

“Diri pun tak berapa betul, nak ajak orang pada kebaikan”

“Ni dah hafal Al-Quran sepenuhnya ke, nak ajak-ajak orang buat baik ni?”

“Kau dah sempurna sangat ke?”

Dan begitulah antara ayat yang keluar, melemahkan semangat mereka yang ingin mengajak kepada Allah SWT. Kadangkala, alasan-alasan seperti itu, yakni alasan tak sempurna, belum cukup bersedia, ilmu masih tak banyak, dosa masih ada yang tak boleh tinggal, digunakan oleh kita sendiri sebagai jalan keluar untuk tidak bergerak menyebarkan kebaikan.

Adakah benar, hendak mengajak kepada kebaikan, diri kita perlu sempurna dahulu?

Kisah Abu Bakar RA

Dari kalangan lelaki dewasa, Abu Bakar RA adalah yang pertama beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika kita memerhatikan Sirah Nabawiyah, selepas keimanannya, Abu Bakar mengajak ramai manusia untuk mengikuti jalan kepada Allah SWT ini. Antara yang diajaknya adalah:

1. Uthman bin Affan RA – satu dari 10 yang dijamin syurga.

2. Sa’ad ibn Abi Waqqas RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

3. Talhah ibn Ubaidillah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

4. Abdurrahman ibn Auf RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

5. Zubair Al-Awwam RA

6. Abu Ubaidah Al-Jarrah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga

Ini adalah antara yang diseru oleh Abu Bakar RA, sebaik sahaja Abu Bakar beriman kepada Allah SWT. Kalau diperhatikan, mereka yang didakwah oleh Abu Bakar RA pada awal keimanannya ini, kebanyakannya adalah sahabat yang dijamin syurga.

Kita teliti, Abu Bakar RA ketika itu baru sahaja beriman kepada Allah SWT. Adakah Al-Quran ketika itu sudah sempurna sehingga ada ayat-ayat yang boleh menguatkan seruan Abu Bakar? Adakah Rasulullah SAW ketika itu sudah menyempurnakan dakwahnya sampai pada Abu Bakar ada pelbagai teknik yang boleh dia gunakan? Adakah ketika itu orang Islam sudah ramai sampai Abu Bakar boleh menunjukkan si fulan itu, si fulan ini gembira mengikuti Islam?

Kita perhatikan, dalam keadaan serba kekurangan, Abu Bakar RA bergerak juga menyebarkan kefahaman Islam, mengajak kepada kebaikan. Sedangkan ketika itu baru awal waktu seruan Rasulullah SAW. Ayat Al-Quran pun hanya ada beberapa sahaja. Orang Islam hanya ada dia, dan keluarga Rasulullah SAW sahaja.

Jadi kenapa Abu Bakar RA ini mampu bergerak, berani menyeru manusia kepada Islam dalam keadaan kekurangan demikian?

Kerana dia beriman, yakin dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kerana dia melihat Islam itulah penyelesai kepada masalah insan, dan dia hendakkan Islam itu berada dalam jiwa-jiwa masyarakatnya.

Maka dia bergerak tanpa menanti sempurna. Tidak berlengahan. Tidak memberi alasan itu, alasan ini. Tidak juga jatuh dengan seksaan dan hinaan.

Perbaiki diri, dan ajak orang lain

Allahyarham Sheikh Mustapaha Masyur ada berkata:      “Islah nafsak, wad’u ghairak”

Ramai orang salah faham kata-kata ini dengan menafsirkan seperti berikut: “Perbaiki diri dulu, baru ajak orang lain”

Kalau benar itu maknanya, maka Sheikh Mustaphaa Masyur akan berkata begini:

“Islah nafsak, summa, ud’u ghairak” Perkataan summa di sini membawa maksud kemudian.

Kenapa dia menggunakan ‘dan’, bukannya ‘kemudian’?

Hal ini kerana, ‘dan’ menunjukkan kebersamaan, pada waktu yang sama. Manakala ‘kemudian’ menunjukkan kelewatan, bukan pada waktu yang sama. Maka, makna pada kata-kata “Islah nafsak, wad’u ghairak” hakikatnya adalah:

“Perbaiki diri kamu, dan(pada masa yang sama) ajak orang lain(memperbaiki diri macam kamu juga)”

Kenapa dia menyeru demikian? Kenapa Sheikh Mustapha Masyur tidak suruh kita ajak orang lain lepas diri kita dah sempurna? Kenapa masa tengah perbaiki diri kita sudah perlu ajak orang lain? Kenapa?

Hal ini kerana, manusia memang tidak akan mencapai kesempurnaan. Jadi, jika hendak tunggu sempurna, sampai kiamat pun tidak akan bermulanya seruan kepada kebaikan. Justeru, manusia perlu menyeru dengan apa yang sudah ada di tangannya. Dia ada sikit, dia bagi sikit. Dia ada banyak, dia bagi banyak. Pokoknya, dia memberi, berkongsi, menyeru ke arah kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Sampaikan daripada aku, walaupun sepotong ayat”

Dan dengan kita bergerak mengajak manusia lain ke arah kebaikan, insyaAllah diri kita akan mempunyai satu rasa sensitif untuk menjalankan peningkatan. Hal ini kerana, kita akan merasakan satu tolakan untuk lebih memperkemaskan diri apabila kita mula menyeru manusia ke arah kebaikan. Ini juga satu ‘booster’ untuk peningkatan diri.

Guru saya ada berkata:

“Perempuan yang malas mencuci kukunya, apabila dia mencuci pakaian, maka kukunya akan tercuci sama”

Kebaikan, jangan dilewat-lewatkan…….

Allah SWT berfirman:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” Ali-Imran ayat 133.

Allah SWT juga mengingatkan kita berkenaan tindakan seorang lelaki yang apabila mendengar ummatnya menolak penyampaian rasul-rasul Allah SWT.  Allah menceritakan bahawa lelaki itu berlari dengan pantas di dalam ayat berikut:

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dalam keadaan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu” Surah Yaasin ayat 20.

Apa persamaan dua ayat ini?

Menyegerakan kebaikan.

Hal ini kerana, kalau kita tidak menyegerakan kebaikan, maka hakikatnya kita telah terjerumus dalam kerugian. Mari kita lihat ayat Al-‘Asr yang popular:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Ya, perhatikan ayat-ayat itu. Siapakah yang tidak rugi? Yang tidak rugi dalam hidup ini hanyalah mereka yang melakukan amal kebaikan, dan menyebarkannya pula.

Anda, nak untung atau hendak rugi?

Penutup: Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran

Jadi jangan lengah lagi. Jangan takut untuk buat baik. Jangan takut untuk sebarkan kebaikan.

Bila bersembang dengan kawan, selitkan peringatan-peringat an. Bila menghadiri satu majlis, jangan lupa ambil peluang menyebarkan kebenaran. Bila mengetuai satu program, jangan lupa adunkan program itu dengan hubungan kepada Allah SWT.

Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran. Gunakan segala ruang, peluang dan cara yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.


Jangan lengah, jangan lewat-lewat.

Bergeraklah.

Bersegeralah.

Tidak perlu menanti sempurna.

Inilah salah satu jalan untuk berusaha menyempurnakan diri kita.


sumber: ms.langitilahi. com

Advertisements

February 8, 2010 Posted by | Tazkirah .:Read and Think:. | , , , , , | 5 Comments

Saya Nak Jadi Isteri Kedua ^_*

 

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… ” Fatimah mula sebak.

“Tak. Maksud saya…”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa.Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini. Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning.

Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agamayang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri.

 Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikrisekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiriperjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak? Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.

“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin. Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit.

Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.

“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibahyakin tetapi sedikit malu.

“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawaNusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu. “Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.  Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

PERJUANGAN, ” jawab Fikri.

*******************************************************************************

Ya Allah, semoga aku dapat menjadi isteri kedua kepada seorang pejuangMU, menjadi madu kepada Perjuangan pejuangMU, dan semoga aku menjadi sayap kiri yang begitu berharga buat suamiku yang Kau jodohkan untukku..amin..amin ya rabbal alamin….

Sweet_Autumn_Morning

June 1, 2009 Posted by | Chosen .:Karya Pilihan:. | , , | 15 Comments